Hasni (dua kanan) menanam pokok rhu pada Majlis Pecah Tanah Penubuhan Taman Eko Rimba Telok Arong, Mersing. - Foto Pejabat MB Johor
MERSING: Pokok rhu yang ditanam di Taman Eko Rimba Teluk Arong, di sini, mampu menjadi tarikan baharu kepada pengunjung domestik mahupun antarabangsa.
Pengarah Perhutanan Johor, Datuk Salim Aman, berkata inspirasi penanaman pokok itu diambil daripada landskap di Pulau Nami, Korea Selatan yang terkenal dalam kalangan pelancong seluruh dunia.
Pokok rhu itu ditanam secara berperingkat di sekitar Taman Eko Rimba bagi memastikan ia terpelihara, di samping dapat membangunkan ekonomi setempat.
"Taman Eko Rimba ini masih lagi dalam proses pembangunan dan bakal dilengkapi kemudahan awam termasuk tandas awam, malah konsep lain turut dicadangkan bagi taman ini adalah khemah kereta (car camping).
"Empat komponen dalam pembangunan di Telok Arong antaranya Kompleks Hutan Taman Negeri Arong, trek pendakian Gunung Arong, kawasan restorasi dan Taman Eko Rimba Telok Arong.
"Pembukaan kawasan ini adalah secara berperingkat dan ia dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun. Bagaimanapun, trek pendakian Gunung Arong sudah dibuka kepada umum sejak 2005," katanya dalam kenyataan selepas Majlis Pecah Tanah Penubuhan Taman Eko Rimba Telok Arong yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
|