Johor Bahru: Seramai 14 ahli kongsi gelap ditahan kerana bergaduh dalam keadaan mabuk di Kulai, Ahad lalu.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penahanan mereka susulan operasi Ops Cahaya yang dilancarkan sejak 28 Oktober, bagi mengawasi dan memantau negeri sepanjang sepanjang musim perayaan.
"Ops Cahaya memfokus kepada kes membabitkan gangsterisme atau kumpulan kongsi gelap termasuk pergaduhan sesama mereka.
"Sepanjang operasi dijalankan sebanyak 66 kes kekerasan dikesan di seluruh negeri dengan 30 penahanan dibuat termasuk membabitkan 14 individu yang bukan anggota kongsi gelap.
"Penahanan 14 ahli kongsi gelap itu pula dibuat kelmarin (Ahad lalu) berikutan mereka terbabit pergaduhan dalam keadaan mabuk, dengan mereka berusia antara 17 hingga 53 tahun. Punca pergaduhan kerana salah faham," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, kesemua ahli kongsi gelap itu berjawatan dalam kumpulan masing-masing, ditahan reman antara dua hingga empat hari untuk siasatan lanjut termasuk mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.
Dalam pada itu, katanya, Polis Johor berjaya mengambil tindakan ke atas aktiviti kongsi gelap sejak Januari hingga hari ini dengan 70 anggota kumpulan itu diberkas.
"Pecahannya adalah Geng 21 (29 orang), Geng 36 (16 orang), Geng 04 (9 orang), Geng 08 (lapan), Hong Hong San (dua), Ang Kong Kia (seorang) dan Ngo Sek Kee (lima).
"Daripada jumlah itu, 20 individu diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), iaitu Geng 21 (13 orang) dan Geng 36 (tujuh)," katanya.
Menurutnya, operasi mengekang kumpulan kongsi gelap di negeri itu akan terus dilakukan bagi memastikan tiada aktiviti yang menggugat ketenteraman awam.