Machang: Seramai 78 anggota, pegawai dan kakitangan awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan disahkan positif Covid-19 sepanjang bulan ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, ia membabitkan tiga pegawai kanan, 32 anggota dan enam pegawai awam manakala 37 dalam kalangan ahli keluarga.
Beliau berkata, mereka dijangkiti Covid-19 berpunca daripada penugasan di lapangan ketika membawa tahanan ke mahkamah untuk perbicaraan dan aktiviti ziarah menziarahi ahli keluarga.
"Pada masa sama, 28 anggota dan pegawai menjalani kuarantin di rumah atau hospital selepas menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19.
"Jumlah mereka menjalani kuarantin terdiri daripada 13 pegawai rendah polis, dua pegawai awam serta 14 individu dalam kalangan ahli keluarga mereka.
"Justeru itu, mereka yang bertugas di lapangan dan berdepan dengan orang awam seperti di mahkamah digalakkan memakai pelitup muka jenis N95 atau dua lapis pelitup muka bagi mengelak jangkitan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Simulasi Banjir Peringkat Kontinjen Kelantan 2021 di Sungai Kelantan dekat Temangan, di sini, hari ini.
Simulasi Banjir itu dijalankan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Dalam perkembangan sama, Shafien berkata, sehingga hari ini seramai 1,712 anggota dan pegawai sudah mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19.
Beliau berkata, ia membabitkan 218 pegawai kanan, 1,371 anggota serta 123 pegawai awam dengan jumlah tertinggi adalah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, diikuti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas dan IPD Kuala Krai.
"Seramai 5,000 anggota daripada 13 agensi sudah bersiap sedia menghadapi bencana banjir yang dijangka melanda.
"Daripada jumlah itu, seramai 167 anggota terbabit dalam simulasi banjir untuk pengendalian bot enjin sangkut bertujuan mewujudkan kesefahaman antara semua agensi ketika operasi menyelamat mangsa banjir," katanya.