Seremban: Wanita hamil, Jahidah Nordin, 43, yang parah dipukul suaminya sehingga koma pada Mei lalu akan bersalin secara pembedahan pada 1 Disember depan, namun bakal berdepan pelbagai komplikasi.
Adik kepada Jahidah, Fauziah Nordin, 40, yang menjaga wanita itu sepenuh masa sejak kejadian berkenaan memaklumkan kakaknya menunjukkan perkembangan positif selain tumbesaran kandungannya dalam keadaan baik.
Fauziah berkata, doktor pakar sudah membuat pengesahan Jahidah akan melahirkan bayinya melalui cara pembedahan pada 1 Disember depan, namun risikonya amat tinggi sehingga boleh membawa maut.
"Kak Jahidah dimasukkan ke Wad Obstetrik dan Ginekologi (O&G) Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban sejak 22 November lalu, bagaimanapun ahli keluarga tidak dibenarkan melawat kerana prosedur sangat ketat," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Fauziah berkata, berdasarkan makluman pihak hospital, kakaknya bakal berdepan pelbagai komplikasi ketika bersalin bulan depan.
"Doktor turut memaklumkan kakak akan turut diawasi di Unit Rawatan Rapi (ICU) ketika pembedahan nanti. Ini disebabkan keadaan kakak yang tidak mampu memberi tindak balas kerana otaknya mengalami pendarahan dan rosak akibat kejadian itu.
"Kakak akan dibius seluruh badan ketika pembedahan nanti. Risikonya tinggi disebabkan keadaan otaknya, namun doktor memaklumkan akan terus memantau tahap oksigennya," katanya.
Katanya, antara kemungkinan komplikasi yang akan dialami Jahidah adalah kesukaran pernafasan, pendarahan, jangkitan kuman, jantung terhenti dan bedepan risiko kematian.
"Bagaimanapun, saya mengharapkan yang terbaik untuk kakak dan bayi lelaki yang bakal dilahirkan nanti," katanya hiba.
Harian Metro pada Mei lalu melaporkan seorang penjawat awam berusia 43 tahun yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Johor dilaporkan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bharu, Johor selepas dipercayai dicederakan suaminya pada 4 Mei lalu.
Mangsa yang sedang hamil empat minggu parah di kepala dan tengkoraknya terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak disyaki dipukul suaminya.
Polis kemudiannya memburu suami kepada Jahidah dikenali sebagai Rosmaini Abd Raof, 38, sebelum dilaporkan ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman, jam 11 pagi di Taman Bukit Angsana, Kuala Lumpur, 11 Jun lalu.