Pasir Gudang: Kuarters Pekerja Berpusat Bersepadu (ICLQ) yang dibangunkan di Kawasan Perindustrian di sini, akan dijadikan contoh dan modul pembangunan penginapan pekerja asing di Malaysia.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, ICLQ yang dibina di atas tanah seluas 6.5 hektar (16 ekar) di Jalan Keluli 11 itu adalah penginapan pekerja asing pertama di Malaysia yang dibangunkan memenuhi Piawaian Keselamatan Penginapan Pekerja Global.
Katanya, pembangunan ICLQ di Pasir Gudang itu bukan sahaja akan menjamin penempatan, kebajikan, keselamatan dan keselesaan pekerja asing malah pengawasan dan penguatkuasaan ke atas pekerja berkenaan akan lebih mudah dilaksanakan.
Beliau berkata, pada pembinaan fasa pertama ICLQ yang dijangka pada Oktober 2022 itu, ia akan memuatkan empat blok asrama membabitkan 222 unit kediaman yang boleh menampung 8,000 pekerja.
"Inilah hala tuju Kementerian Sumber Manusia dalam memastikan kediaman pekerja asing lebih memenuhi piawaian antarabangsa selain kebajikan pekerja diutamakan.
"Contoh, di ICLQ ini akan dibina kemudahan serba lengkap termasuk klinik, mesin ATM, kedai gunting rambut, kedai serbaneka selain kemudahan pusat pindahan wang antarabangsa sekali gus pekerja asing tidak perlu keluar dari kawasan kediaman mereka.
"Inisiatif ICLQ ini akan memastikan pergerakan pekerja lebih terkawal, mengelakkan persekitaran penginapan padat, sempit dan kotor selain menyediakan penjagaan standard kemudahan perumahan, keselamatan dan kesihatan yang tersusun sekali gus mengelakkan penularan penyakit terutama Covid-19," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran ICLQ hari ini.
Dalam pada itu, Saravanan berkata, pembinaan ICLQ itu sekali gus selari dengan komitmen kerajaan dalam memastikan majikan di negara ini mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446).
"Setakat ini, kementerian sudah luluskan 628 Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) di seluruh negara.
"Ia bagi menampung 90,256 pekerja asing dan kini masih dalam pembinaan. Sebanyak 360 CLQ lagi masih dalam peringkat perancangan bagi menampung 31,500 pekerja asing," katanya.