![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20211216/penguang.jpeg)
Penguang bercakap kepada media semasa lawatan ke tapak Jambatan Marudi hari ini, kelihatan sama Syahbuddin (kiri).
MARUDI: Projek pembinaan Jambatan Marudi merentangi Sungai Baram sepanjang 650 meter kini sedang diteruskan, kata penyandang GPS Marudi, Datu Dr Penguang Manggil.
Beliau berkata, sebagaimana yang dijanjikan semasa lawatan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 25 November lalu, kerja-kerja pembinaan dimulakan semalam.
Beliau berkata, Jambatan Marudi merupakan salah satu projek rakyat yang diluluskan oleh Abang Johari untuk konstituensi Marudi.
“Walaupun projek ini tertangguh, namun kerja-kerja pembinaan kini kembali diteruskan.
“Pihak kontraktor memberi jaminan akan menyiapkan projek ini dalam tempoh yang ditetapkan. Mungkin siap dalam tempoh kurang dua tahun, dua tahun atau lebih namun ia tetap siap,” katanya kepada media selepas meninjau tapak pembinaan Jambatan Marudi di sini hari ini.
Hadir sama Pengurus Projek Jambatan Marudi Jabatan Kerja Raya (JKR) Pejabat Wilayah Utara (NRO) Syahbuddin Abu Bakar.
Beliau berharap rakyat di Marudi bersabar dan memberikan sokongan kepada GPS pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) ini.
Sementara itu Syahbuddin berkata, pembinaan fasa pertama enam bulan pertama ini meliputi pembinaan lencongan jalan, pemasangan cerucuk di kedua-dua bahagian pekan Marudi dan Miri.
Projek bernilai RM75 juta dengan dua lorong sehala itu memendekkan perjalanan antara Miri dan Marudi selain memudahkan pengguna berkunjung ke Marudi atau meneruskan perjalanan ke Taman Negara Gunung Mulu melalui jalan darat dari Marudi.
utusanborneo.com.my/2021/12/16
|