Seremban: Seramai 413 orang daripada 96 keluarga mangsa banjir dari enam daerah di Negeri Sembilan ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka setakat pagi ini.
Enam daerah yang terbabit ialah Seremban. Port Dickson, Rembau, Kuala Pilah, Tampin dan Jelebu.
Jumlah mangsa yang terjejas banjir itu menunjukkan peningkatan ketara susulan hujan masih turun sehingga kini, dengan daerah Port Dickson mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 259 orang.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan memaklumkan, kesemua mereka yang terjejas berada dalam keadaan selamat.
"Sembilan PPS yang dibuka ialah di Balai Raya Pertamatang Pasir, Sekolah Kebangsaan (SK) Jimah Lama, Balai Raya Kampung Linggi dan Balai Raya Kampung Pengkalan Durian di Port Dickson.
"Turut dibuka, PPS di Masjid Kariah Lubok China dan Surau Nerambai di daerah Rembau, Dewan Desa Dangi di Kuala Pilah dan Kampung Juntai di Jelebu selain SK Siliau di daerah ini," katanya.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam kenyataannya berkata, pekan Linggi antara lokasi yang menerima kesan banjir paling serius hingga sebahagian besar daripada pekan berkenaan ditenggelami air.
Beliau berkata, mangsa yang terjejas akibat banjir ini ditempatkan di dua PPS di sekitar Linggi.
"Anggaran awal oleh pihak agensi keselamatan lebih daripada 100 rumah di sekitar Lubok China terjejas akibat banjir.
"Semua agensi, jabatan dan aset kerajaan sedang giat digerakkan bagi memberikan bantuan kepada pihak yang terjejas," katanya.