Kuala Pilah: Kesesakan luar biasa berlaku di Jalan Kuala Pilah-Seremban susulan pengguna jalan raya dari Lembah Klang yang mahu ke pantai timur tidak dapat menggunakan Lebuhraya Karak (KLK) dan Jalan Bukit Tangga ke Jelebu yang menghubungkan Karak.
Ia susulan kedua-dua laluan terpaksa ditutup kepada pengguna jalan raya selepas berlaku tanah runtuh di KLK dan Bukit Tangga, susulan hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan, dua hari lalu.
Tinjauan wartawan di Kuala Pilah mendapati kesesakan berlaku dari Ulu Bendul sehingga ke Pekan Kuala Pilah iaitu sejauh 31 kilometer (km) sebelum ia berterusan sehingga ke Pekan Batu Kikir, sejauh 17 km.
Kesesakan berlaku sejak malam kelmarin apabila kebanyakan warga pantai timur yang berada Lembah Klang tiada pilihan lain untuk pulang ke Pahang dan Terengganu, malah kenderaan perdagangan dan bas ekspres juga menggunakan laluan berkenaan.
Nurul Hidayah Samsulrizal, 36, berkata, dia datang ke Shah Alam dari Kuantan, pada Jumaat lalu atas urusan keluarga, namun terpaksa memilih Jalan Kuala Pilah-Seremban kerana akan mula bekerja esok.
"Saya menggunakan aplikasi Waze dan ia memberikan laluan di Bukit Tangga, namun saya dan suami mendapati banyak kenderaan yang berpatah balik sebelum mendapati jalan berkenaan ditutup.
"Kami tiada pilihan dan terpaksa menghadap kesesakan di jalan ini. Ia satu-satunya jalan alternatif yang ada ketika ini untuk pulang ke Kuantan," katanya ketika ditemui di Tanjung Ipoh, di sini.
Ahmad Faizul Aswad Mohamed, 35, pula berkata, selain bilangan kenderaan yang banyak, jalan satu lorong dan kehadiran kenderaan berat memperlahankan pergerakan kenderaan.
"Saya bertolak dari Kuala Lumpur dan mahu pulang ke Balok, Kuantan. Saya memang berada di Lembah Klang atas urusan kerja sebelum kejadian hujan lebat ini berlaku," katanya.
Peniaga itik Salai di Tanjung Ipoh, Masitah Pilus, 46, berkata, kesesakan bermula kira-kira 10 malam kelmarin dan dijangka akan berterusan sehingga ke beberapa hari lagi sehingga laluan KLK dan Bukit Tangga dibuka semula.
"Jarang berlaku kesesakan seperti ini. Kebiasaannya berlaku ketika cuti musim perayaan sahaja.
"Kebanyakan pelanggan yang berhenti untuk membeli itik salai dalam perjalanan pulang ke Terengganu. Mereka mengaku sudah berada di Lembah Klang sebelum kejadian hujan lebat dan tanah runtuh di Karak," katanya.