Johor Bahru: Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru sedang bekerjasama dengan keluarga dan pihak berkaitan dua negara bagi membawa pulang enam jenazah mangsa lemas bot pancung terbalik di Tanjung Balau, Rabu lalu.
Pegawai Hal Ehwal Informasi dan Sosio Budaya Konsulat Indonesia di Johor Bahru, Andita Putri Purnama berkata, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti enam mayat
Katanya, 15 mayat lagi masih menunggu proses pengecaman.
"Kita sedang bekerjasama dengan keluarga serta pihak berkaitan di Indonesia dan Malaysia untuk proses penghantaran pulang enam jenazah mangsa dalam waktu terdekat ke daerah asal di Indonesia.
"Setakat ini, hanya enam mayat sudah dikenal pasti oleh keluarga iaitu seorang wanita dan lima lelaki.
"Mayat wanita yang dikenali sebagai M berasal Pekanbaru, manakala lima lagi mayat lelaki yang dikenali sebagai TM dan AM (Cilacap), BB dan SM (Lombok Tengah) serta AP (Lombok Timur)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Andita Putri, 15 lagi mayat lain masih menunggu proses identifikasi oleh keluarga.
"Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi KJRI dengan menelefon hotline 016-7700 378 atau 017-7716 866," katanya.
Pada Ahad lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang mengetuai Ops Carilamat mengesahkan operasi itu ditamatkan berikutan tiada penemuan baharu ketika masuk hari kelima pencarian.
Sehingga kini, jumlah mangsa pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditemukan dalam insiden bot pancung terbalik itu ialah 34, yang mana 21 disahkan meninggal dunia iaitu 15 lelaki dan enam wanita.
Daripada jumlah itu, 13 ditemukan selamat membabitkan 11 lelaki dan dua wanita, manakala 16 lagi masih hilang.