SEORANG anggota polis cedera selepas khemah SJR dirempuh sebuah bas ekspress di kilometer 52.0 Jalan Johor Bahru- Mersing, malam tadi. FOTO IHSAN POLIS
Kota Tinggi: Seorang anggota polis kecederaan selepas khemah Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kilometer 52.0 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini, dilanggar bas ekspres malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, dalam kejadian jam 10.30 malam itu, bas terbabit dari Larkin ke Kuala Terengganu.
Katanya, kejadian berlaku apabila pintu ruang penyimpanan tayar simpanan sebelah kanan bas yang dipandu lelaki berusia 50 tahun, tiba-tiba terbuka ketika melalui khemah SJR berkenaan.
"Pintu itu terkena khemah SJR yang berada di tengah jalan dan ketika kejadian terdapat anggota yang sedang bertugas di bawah khemah terbabit.
"Mangsa yang berusia 30 tahun dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, ketika juga bas terbabit membawa 26 penumpang, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Menurut Hussin, hasil saringan awal air kencing mendapati pemandu bas terbabit negatif dadah dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah.
"Pemandu bas ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Disiarkan pada: Disember 22, 2021 @ 2:02pm
|