Johor Bahru: Kerajaan Johor bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir ketika musim tengkujuh termasuk proses menyelamat dan memberikan bantuan kepada mangsa.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kelewatan operasi menyelamat dan memberikan bantuan kepada mangsa banjir tidak boleh dikompromi kerana nyawa dan keselamatan rakyat adalah keutamaan.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan agensi yang terbabit melakukan latihan penyelarasan bagi menghadapi bencana di luar jangkaan.
Katanya, latihan itu adalah bertujuan bagi memastikan gerak kerja menyelamat dan memberikan bantuan semasa bencana banjir dapat diselaraskan dengan baik serta dilakukan segera.
"Kerajaan Johor sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan semasa musim tengkujuh kali ini.
"Dalam mendepani situasi bencana, semua agensi dan jabatan berkaitan digesa mengurangkan kerenah birokrasi serta tidak menuding jari atau menyalahkan pihak lain.
"Semua pihak perlu terus memberi kerjasama dan saling membantu dalam menghadapi sebarang bencana," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Hasni menghadiri taklimat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang diadakan secara virtual, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani, Pegawai Daerah, Ketua Jabatan dan wakil agensi berkaitant.
"Antara perkara yang dibincangkan termasuk penambahbaikan sistem pengurusan bencana banjir dengan mengambil kira keadaan di luar jangkaan.
"Selain itu, perkara mengenai langkah mempertingkatkan persiapan menghadapi banjir serta pengukuhan sistem komunikasi sebaran awal kepada masyarakat sekitar turut dibincangkan," katanya.
Dalam pada itu, Hasni berkata, sekiranya berlaku bencana banjir di Johor, masyarakat dinasihatkan untuk sentiasa patuhi arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah sepatutnya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
"Saya tahu rakyat Johor memang terkenal dengan sikap dan keprihatinan yang tinggi dalam membantu golongan yang ditimpa bencana dan kesusahan.
"Namun, dalam kita sibuk membantu, saya ingin ingatkan semua pihak supaya tidak leka dan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Ingatlah bahawa kita masih memerangi pandemik COVID-19. "Saya turut berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan sentiasa bersedia untuk tampil membantu mangsa banjir, termasuk di negeri lain," katanya.