![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220105/mahkamahkuching2.jpg)
KUCHING: Seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar 36 kilogram Methamphetamine.
Hakim Azhahari Kamal Ramli bagaimanapun memerintahkan kes disebut semula pada 18 Januari ini untuk status pelantikan peguam.
Sementara menunggu tarikh tersebut, tertuduh, Ismawi Saruji, 49, direman lanjut.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 18 September 2021, jam lebih kurang 5.45 pagi berhampiran Kampung Sejijak, Jalan Tebedu-Serian.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta sama.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 kali.
Dalam laporan media sebelum ini, tertuduh dilaporkan ditangkap oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas untuk Op Benteng sekitar jam 5 pagi pada 18 September 2021.
Menurut laporan itu juga, semasa diperiksa, didapati terdapat empat beg di dalam kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) yang dipandu tertuduh dan di dalamnya mengandungi 36 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM1.296 juta.
Tertuduh dikatakan bertindak sebagai 'penghantar' dadah tersebut dari Miri dengan upah RM2,000 bagi setiap 1 kilogram dadah yang dihantar.
Kesemua dadah yang dirampas daripada tertuduh juga dikatakan diletakkan di dalam bungkusan teh China bagi mengaburi pihak berkuasa.
utusanborneo.com.my/2022/01/05 |