Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, makan malam ambang Tahun Baharu Cina dan sambutan Chap Goh Mei juga hanya dibenarkan dalam kalangan ahli keluarga terdekat sahaja.
“Bagi makan malam ambang Tahun Baharu Cina, bilangan ahli keluarga dalam tempat kediaman adalah 50 peratus kapasiti mengikut saiz rumah dan pekarangan rumah.
“Family reunion di hotel atau restoran untuk sambutan Chinese New Year Eve dibenarkan untuk ahli keluarga terdekat sahaja dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Sektor Makanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, garis panduan bagi sambutan Tahun Baru Cina yang disediakan oleh Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah diluluskan oleh JPBNS boleh didapati di laman sesawang
https://sarawakdisastermc.com.
Mengulas lanjut JPBNS berkata, bagi upacara sembahyang di rumah-rumah ibadat, orang ramai wajib mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh JPBNS oleh pihak UNIFOR.
“Sementara itu bagi bazar Tahun Baharu Cina wajib mematuhi SOP-SOP berkaitan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dikemas kini pada 6 Januari 2022,” tegasnya.
Dalam pada itu JPBNS berkata, pihaknya telah bersetuju untuk menambah kekerapan penerbangan dari Semenanjung Malaysia dan Sabah ke Sarawak dari 307 penerbangan seminggu ke 562 seminggu, berkuat kuasa pada 14 Januari 2022.
“Jumlah kekerapan penerbangan ini boleh didapati di laman sesawang Kementerian Pengangkutan Sarawak di
https://mot.sarawak.gov.my,” ujarnya lagi.
Mengenai kes COVID-19 JPBNS berkata Sarawak mencatatkan penurunan kes COVID-19 hari ini dengan sebanyak 18 kes dilaporkan berbanding 23 kes pada Rabu.
Tiga daripada kes baharu tersebut merupakan kategori satu (tiada gejala), 12 lagi kategori dua (gejala ringan), dua merupakan kategori empat (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen) manakala satu lagi kes membabitkan kategori lima (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator).
JPBNS berkata, dengan penambahan 18 kes baharu itu, Sarawak merekodkan jumlah kumulatif kes COVID-19 setakat ini, 252,568.
"Lawas merekodkan empat kes manakala Sibu merekodkan tiga kes serta masing-masing dua kes direkodkan di Kuching, Miri dan Song.
"Daerah Limbang, Serian, Sri Aman, Kapit dan Sarikei pula masing-masing merekodkan satu kes baharu COVID-19 hari ini," jelasnya.
JPBNS hari ini juga melaporkan tiada kematian baharu akibat COVID-19 dilaporkan di Sarawak.
utusanborneo.com.my/2022/01/13