|

MIRI: Seorang bapa didenda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini kerana sengaja melupuskan harta curi.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi setelah Thian Min Chen, 42, dari Marudi mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati dengan sengaja telah melupuskan harta curi iaitu sebuah pagar besi.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12 tengah hari, 15 Januari lalu di sebuah kedai besi buruk di Jalan Senadin di sini.
Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu agar hukuman ke atasnya diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.
Tambahan dia telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak.
Tertuduh memberitahu bahawa dia telah membeli pagar besi itu daripada seseorang dan kemudian menjualnya ke kedai besi buruk berkenaan.
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
utusanborneo.com.my/2022/01/24
|
|