
Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan di Batu 9, Jalan Kuching-Serian hari ini.
KOTA SAMARAHAN: Seorang warga emas terbunuh selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan di Batu 9, Jalan Kuching-Serian hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Saiman Sumadi berumur 64 tahun berasal dari Kampung Bukit Pancur, Jalan Batu Kitang.
Menurutnya, mangsa ketika itu bergerak lurus menggunakan motosikalnya dari arah Kota Padawan Batu 10 menuju ke Batu 7.
"Bagaimanapun, mangsa berlanggar dengan sebuah pacuan empat roda (4WD) yang datang dari arah Batu 7 menuju ke simpang sebuah medan selera semasa kenderaan terbabit masuk simpang kanan ketika lampu isyarat sudah berwarna hijau," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Alexson, akibat kemalangan itu mangsa cedera parah.
"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia semasa mendapat rawatan dalam ambulan sekitar jam 2.54 petang," jelasnya.
Ujarnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
utusanborneo.com.my/2022/01/29 |