
SAR: Pasukan bomba semasa menjalankan SAR di sekitar pesisir pantai.
KUDAT: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) membabitkan seorang lelaki berumur 54 tahun yang dikhuatiri hilang semasa mencari ikan di perairan Limau-Limauan Telaga di sini memasuki hari ketiga.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat Ishak Jabas berkata SAR disertai pelbagai agensi itu dimulakan seawal jam 9.31 pagi.
“Hasil perbincangan bersama pasukan penyelamat lain memutuskan operasi SAR di kawasan laut akan dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama Pasukan Polis Marin (PPM).
“Pencarian di kawasan pesisir pantai pula akan dilaksanakan pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.
Beliau berkata setakat ini operasi SAR giat dijalankan dan masih tiada sebarang petunjuk berkenaan mangsa dikesan setakat ini.
Terdahulu isteri mangsa memaklumkan mangsa keluar sejak 18 Januari lalu untuk menangkap ikan di sekitar perairan terbabit dan belum kembali ke rumah sehingga kini.
utusanborneo.com.my/2022/01/29 |