Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata sebelum itu, radar Markas ATB 2 berjaya mengesan kehadiran tiga bot laju dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 4.50 pagi.
“Salah satu bot berkenaan sudah memecut laju ke sempadan negara selepas menurunkan kesemua PTI terbabit ke daratan.
“Manakala, dua bot yang lain gagal dikesan dan dipercayai lebih awal berpatah balik keluar sempadan negara sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Katanya, pasukan Quick Reaction Force (QRF) yang sedang menjalankan tugas Op Benteng Bersama digerakan ke lokasi dipercayai bot laju berkenaan menurunkan penumpangnya.
“Pasukan keselamatan berjaya menahan tiga lelaki, seorang wanita dan bayi berumur 1 hingga 27 tahun sedang bersembunyi di dalam garaj kereta di kampung berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua PTI terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan mengaku baru tiba dari negara jiran,” katanya.
Menurutnya, kesemua mereka juga mengaku masuk secara haram yang diatur oleh tekong dari negara jiran menggunakan sebuah bot dan akan diambil oleh tekong darat di Tawau ke destinasi seterusnya.
“Kesemua mereka kemudiannya ditahan dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal atau berada di Malaysia tanpa permit yang sah,” katanya.
Abdul Karim menzahirkan ucapan tahniah kepada semua anggota yang bertugas di Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 dan pasukan QRF atas kejayaan tersebut.
“Kejayaan ini adalah yang keempat dalam bulan Januari dan ini membuktikan ATB 2 sentiasa komited serta dalam keadaan bersiap siaga mengawal sempadan negara.
“ATB 2 sentiasa mengetatkan kawalan sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan demi kedaulatan pantai timur Sabah,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/29