
MAUT: Pasukan bomba menurunkan mangsa menggunakan tangga sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Besar Tawau.
TAWAU: Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai terkena renjatan elektrik di Jalan Bunga Raya, di sini pagi tadi.
Mayat mangsa berumur 41 tahun itu ditemukan dalam keadaan tergantung di tiang elektrik sebelum orang awam membuat panggilan kecemasan MERS999.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen Jr berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.32 pagi.
“Sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, terdapat seorang lelaki dalam keadaan badannya tergantung pada tiang elektrik dipercayai mahu melakukan kerja pendawaian,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Katanya, pasukan bomba menghubungi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk memutuskan bekalan elektrik di kawasan tersebut sebelum menurunkan mangsa menggunakan tangga.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayatnya dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk bedah siasat.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan tersebut selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.36 pagi,”katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/30 |