
MAUT: Mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
LAHAD DATU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Silam, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu, mangsa yang berumur 28 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata semasa kejadian, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiang lampu di pembahagi jalan.
Katanya, kenderaan mangsa juga memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 38 tahun.
“Akibat rempuhan itu, mangsa tersepit di dalam kenderaannya sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dan mayatnya dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian pemanduan mangsa yang hilang kawalan sehingga menyebabkan kenderaannya terbabas.
“Kedua-dua pemandu disahkan tidak dipengaruhi alkohol, namun siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut, boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/30 |