|
ZAIN Ali. FOTO Agensi
Lahore: Seorang remaja lelaki tergamak menembak dan membunuh ibu, abang dan dua adik perempuannya selepas menjadi ketagih dengan permainan video.
Portal Mirror melaporkan, Zain Ali, 14, dari Lahore, Pakistan, ditahan selepas pembantu rumah menemukan mayat mangsa.
Polis mendakwa remaja itu mengalami masalah psikologi dipercayai akibat bermain permainan dalam talian - PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG).
Permainan video membabitkan pemain terjun payung ke pulau dan mencari senjata untuk membunuh orang lain sambil mengelak diri sendiri terkorban.
Menurut pegawai polis, budak lelaki itu memegang pistol ibunya selepas gagal mencapai misi dalam permainan itu.
Dia kemudian menembak ibunya, Nahid Mubarak, 45.
Remaja itu kemudian menembak kakaknya, Mahnoor Fatima, 14, yang datang dari bilik lain selepas mendengar bunyi tembakan pertama.
Kemudian, dia membunuh seorang lagi adik perempuannya, Jannat, 10, dan abangnya, Taimur, 22.
Kejadian beraku di di rumah keluarga itu di kawasan Kahna di sini.
Remaja itu kemudian dilaporkan meninggalkan rumah untuk membuang pistol ke dalam longkang sebelum kembali semula ke rumah dan berpura-pura tidur.
Polis menahannya selepas mendapati kesan darah pada pakaiannya dan kesan darah menuju ke tingkat atas bangunan itu, tempat dia tidur.
Polis berkata, suspek kemudiannya mengaku membunuh keluarganya ketika keadaan marah, dan dia percaya mereka akan hidup semula sebaik sahaja tugasnya selesai.
Satu kenyataan daripada polis berkata: "Remaja ini ketagih permainan PUBG dan mengaku membunuh ibu dan adik-beradiknya di bawah pengaruh permainan itu.
"Dia mengalami beberapa isu psikologi kerana menghabiskan masa yang panjang sepanjang hari bermain permainan dalam talian," katanya.
|
|