

COVID-19: 20 kes baharu di Sarawak, Kuching rekod kes harian tertinggi
KUCHING: Sarawak merekodkan 20 kes baharu COVID-19 hari ini yang membawa kepada jumlah kumulatif di negeri ini meningkat kepada 252,881 kes.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan hari ini berkata, daripada jumlah kes baharu kesemuanya adalah adalah kategori satu dan dua.
Katanya 15 daripada kes baharu adalah kategori satu (tiada gejala) sementara lima kes kategori dua (gejala ringan).
“Sementara kes harian tertinggi direkodkan di daerah Kuching iaitu sebanyak 13 kes diikuti Sibu sebanyak tiga kes.
“Manakala dua lagi daerah, Miri dan Samarahan masing-masing merekodkan dua kes,” katanya.
JPBNS memaklumkan tiada kluster dan kematian baharu direkodkan hari ini.
Mengenai notis kompaun, jawatankuasa berkata polis Sarawak mengeluarkan sebanyak 11 notis kompaun atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP).
“Kesemua notis berkenaan dikeluarkan di daerah Kuching atas kesalahan gagal mengimbas kod QR MySejahtera atau mencatat kehadiran sebelum memasuki premis,” katanya.
Sementara itu Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak telah menjalankan 126 pemeriksaan harian di seluruh negeri setakat hari ini.
Dengan itu kementerian sehingga kini telah mengadakan 93,185 pemeriksaan secara keseluruhan dengan 166 kompaun di seluruh Sarawak.
utusanborneo.com.my/2022/02/03 |