
Ivann menunjukan poster telah divaksinasi selepas menerima suntikan vaksin yang disaksikan Uggah (kanan), Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian (tiga kanan) dan ibu Ivann, Dayang Syafiza (empat kanan). - Gambar oleh Roystein Emmor.
KUCHING: Hari ini menjadi sejarah bermakna kepada adik, Ivann Muammar Imaan selepas menjadi yang pertama menerima vaksin COVID-19 bagi kelompok kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids).
Ivann merupakan antara 30 kanak-kanak yang pertama menerima vaksin di bawah PICKids yang dilancarkan di peringkat negeri hari ini oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini.
Ivann, 10 tahun mengakui rasa teruja dan gembira selepas menjadi yang terawal menerima vaksin Pfizer bagi kelompok kanak-kanak itu.
"Saya merasa sedikit gementar namun saya gembira kerana telah menerim vaksin... Walaupun ada sakit sedikit (disuntik). "Dengan ini, ia memberi perlindungan kepada diri sendiri," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima vaksin semasa pelancaran PICKids Peringkat Negeri di HUS hari ini.
Ivann dengan itu menyeru kepada rakan-rakan yang lain supaya datang tampil untuk mendapatkan vaksinasi demi keselamatan dan kesihatan diri.
"Bagi rakan-rakan lain, tidak perlu takut untuk ambil vaksin kerana ia untuk perlindungan diri kita," katanya yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Green Road.
Sementara itu, ibu Ivann, Dayang Syafiza Abang Ya'Kub,36 tahun ketika ditemui berkata selain Ivann turut menerima vaksin pada hari yang sama adalah anak keduanya, Iann Ummair Rafique berusia 9 tahun.
"Saya amat menyokong program imunisasi ini yang mana sebelum ini ia untuk orang dewasa dan memandangkan kini ada untuk kanak-kanak kita amat menyokong demi perlindungan diri anak-anak kita.
"Ini kerana tidak semua kanak-kanak faham mengenai prosedur operasi standard (SOP) dan dengan adanya vaksinasi untuk mereka, sekurangnya ia memberi sedikit perlindungan kepada mereka," katanya.
PICKids peringkat negeri yang dilancarkan pada hari ini menyaksikan seramai 30 orang kanak-kanak pelbagai penyakit komorbid termasuk yang 'immunocompromised' dan menjalani rawatan susulan di HUS telah terpilih menerima vaksin Pfizer.
Vaksin COVID-19 yang digunakan adalah Vaksin Pfizer untuk kanak-kanak yang telah mendapat kelulusan NPRA dan mempunyai dos yang jauh lebih rendah berbanding dos dewasa.
Sela masa di antara dos pertama dan dos kedua ialah lapan minggu manakala kanak-kanak yang 'immunocompromised' sela masa yang dicadangkan adalah tiga minggu.
utusanborneo.com.my/2022/02/03 |