
KUCHING: Ibu bapa digesa mendapatkan vaksin untuk anak-anak bermula 5 Februari kelak, kata Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian.
Menurutnya, ia berikutan golongan tersebut berisiko mengalami Sindrom Radang Pelbagai Sistem dalam Kanak-kanak (MIS-C) sekiranya dijangkiti Covid-19.
“Sindrom ini bukan sahaja menjejaskan bahagian jantung, malah ia boleh menyerang seluruh badan.
“Justeru, pengambilan vaksin untuk kanak-kanak ini sangat penting,” ujarnya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) Peringkat Negeri, di Hospital Umum Sarawak, semalam.
Tambahnya, sebahagian daripada MIS-C tersebut boleh menyebabkan kesihatan kanak-kanak dijangkiti Covid-19 terjejas teruk.
Dalam pada itu, Sim juga berkata, Sarawak menunjukkan sambutan yang positif dalam program vaksinasi dengan bilangan pengambilan vaksin tertinggi dalam kalangan remaja berumur 12 hingga 18 tahun.
“Seterusnya, kita akan menyasarkan pengambilan vaksin bagi golongan kanakkanak berumur 5 hingga 11 tahun.
“Justeru, saya berharap kita dapat melakukan ini dengan kerjasama daripada semua pihak,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada sidang media sama turut menggalakkan ibu bapa untuk mendapat vaksin bagi kanak-kanak yang bersekolah.
“Bermula 5 Februari ini, mereka boleh mendapatkan vaksin sama ada di sekolah masing-masing atau di pusat pemberian vaksin terdekat.
“Oleh itu, ibu bapa perlu berhubung dengan pihak sekolah untuk mengetahui tarikh janji temu vaksinasi anak-anak yang ditetapkan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Uggah berkata, bagi terlepas tarikh janji temu pula, ibu bapa boleh berhubung dengan pengamal perubatan swasta yang terlibat dalam vaksinasi Covid-19 kanak-kanak atau klinik kerajaan terdekat untuk mendapatkan tarikh janji temu baharu.
sarawakvoice.com/2022/02/04 |