
KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) mengingatkan kepada ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka sihat dan tiada simptom COVID-19 sebelum kembali ke sekolah selepas perayaan Tahun Baharu Cina.
Presidennya, Zulkiflee Sebli (gambar) berkata ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan tiada penularan kes di sekolah selepas perayaan ini.
"Elak hantar anak-anak ke sekolah jika mereka mempunyai simptom jangkitan COVID-19 kerana kita tidak mahu penularan berlaku di sekolah-sekolah dalam negeri kita.
"Ibu bapa harus jujur kepada tahap kesihatan anak-anak dan jangan memaksa mereka hadir ke sekolah jika mengalami simptom-simptom tertentu terutamanya demam, batuk dan selesema.
"Bagi anak-anak mereka tidak tahu dan hanya mengikut arahan daripada ibu bapa untuk ke sekolah walaupun mempunyai simptom jangkitan," katanya kepada Utusan Borneo, hari ini.
Selain itu, katanya KGBS berharap sekolah juga harus sentiasa mengingatkan ibu bapa akan bahayanya penularan COVID-19 di sekolah.
Beliau berkata peringatan yang lebih kerap dalam kumpulan WhatsApp sekolah perlu untuk memastikan ibu bapa lebih peka kepada langkah-langkah keselamatan dan pencegahan.
Zulkiflee berkata, semua sedia maklum bahawa cuti Tahun Baharu Cina akan berakhir pada hujung minggu ini dan selepas lebih seminggu bercuti, murid-murid pasti rasa teruja kembali ke sekolah.
"Bagi kita di Sarawak, kebanyakan sekolah telah memohon cuti peristiwa pada Jumaat. Ini menjadikan cuti Tahun Baharu Cina dipanjangkan kepada sembilan hari.
"Bagi ibu bapa yang telah merancang percutian keluarga, tempoh sembilan hari ini merupakan tempoh masa yang agak panjang," katanya.
Beliau berkata bagi keluarga yang berkemampuan akan bercuti di luar Sarawak terutamanya ke Semenanjung.
Tambahnya dengan keadaan penularan COVID-19 di Semenanjung yang semakin meningkat, ia pasti akan menjadi kebimbangan jika kes di Sarawak semakin meningkat selepas ini.
"Kita sangat bersyukur kerana Sarawak kesnya tidak menunjukkan peningkatan beberapa minggu lepas.
"Dalam pada itu, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) masih lagi perlu diingatkan setiap masa sama ada oleh ibu bapa ataupun pihak sekolah. SOP ketat masih perlu kita jaga demi mengekang penularan COVID-19 ini," tegas Zulkiflee.
utusanborneo.com.my/2022/02/04 |