|
NOTA tulisan tangan untuk lagu Hey Jude. FOTO AFP
Washington: Versi maya nota tulisan tangan untuk lagu Hey Jude dijual pada harga hampir AS$77,000 (kira-kira RM322,264) dalam satu acara lelongan di California, Amerika Syarikat (AS) .
Ia adalah kejayaan harga terbaharu untuk NFT atau non-fungible token.
Lagu yang judul asalnya adalah Hey Jules, ditulis pada tahun 1968 oleh Paul McCartney untuk menghiburkan Julian Lennon semasa perpisahan bapa, John dengan ibunya, Cynthia.
Versi NFT nota itu dibentangkan sebagai animasi di mana perkataan ditulis secara berperingkat pada halaman dan disertakan dengan ulasan audio daripada Lennon.
"Bagi saya, hanya melihat gambar tidak mencukupi jika saya seorang pembeli.
"Jadi saya mahu menambah sesuatu yang lebih peribadi. Bagi saya, itu adalah menulis dan menceritakan sedikit kisah di sebalik imej itu," kata Lennon.
Jualan oleh Julien's Auctions, juga termasuk kot NFT Afghanistan yang dipakai oleh bapanya pada set Magical Mystery Tour yang meraih AS$22,400 (kira-kira RM93,800).
NFT, atau token digital unik yang menyatakan pemilikan seseorang terhadap sesuatu dan ia boleh jadi semua benda termasuk foto, lukisan sehingga kepada hantaran pada Twitter.
Walaupun kandungannya mungkin boleh disalin, NFT adalah versi asli untuk sesuatu produk.
Konsepnya sama seperti lukisan Mona Lisa oleh Leonardo da Vinci, Walaupun terdapat banyak versi lukisan itu yang diterbitkan atau dijual, versi asalnya masih dalam simpanan di The Louvre.
Beberapa bulan kebelakangan ini, pelabur dan pengumpul kini tertumpu NFT yang bergantung pada teknologi blockchain.
Ia bersandarkan mata wang kripto dan tidak boleh dipalsukan atau dimanipulasi.
Lelongan baru-baru ini menyaksikan jumlah tinggi dibayar untuk NFT, termasuk AS$69.3 juta (kira-kira RM290.2 juta) untuk karya digital oleh Beeple.
|
|