
MIRI: Penetapan kadar gaji minimum baharu pada nilai sekitar RM1,500 sebulan belum sesuai dilaksanakan melihat kepada pelbagai faktor ekonomi kesan pandemik COVID-19 terhadap majikan dan perniagaan, kata Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Miri.
Pengerusinya Abdul Samad Mohd Ali (gambar) berkata, masih ramai peniaga mengalami kerugian kesan perlaksanaan SOP pencegahan COVID-19 dan sekarang sedang dan secara berperingkat dalam proses bangkit membangunkan semula perniagaan mereka.
“Pada masa ini adalah sangat tidak sesuai (melaksanakan gaji minimum baharu) memandangkan peniaga masih mengalami kerugian akibat penutupan perniagaan dan COVID-19.
“Sebaliknya, kerajaan harus memikirkan cara yang lebih holistik untuk tidak membebankan majikan, namun dalam masa yang sama membantu pekerja,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Dewan Muda DUBS Miri Mohd Hafidz Rohani (gambar) berkata, cadangan kenaikan gaji minimun mengundang keresahan dalam kalangan majikan terutamanya di bahagian ini.
Beliau memberitahu, peratusan kenaikan sebanyak 25 peratus dari kadar semasa RM1,200 sangat membebankan ditambah dengan kenaikan harga barang mentah lain. Menurutnya, harga kos semakin tinggi menyebabkan margin keuntungan semakin kecil sehingga ada yang mengalami kerugian.
“Pada masa ini sebagai majikan, memang kami juga telah menaikkan gaji sebanyak tiga hingga tujuh peratus setahun bagi sesetengah pekerja berdasarkan prestasi kerja mereka dan senioriti kerja mereka,” jelas beliau.
Justeru katanya, kerajaan harus memainkan peranan yang signifikan untuk menstabilkan perniagaan untuk memastikan pemulihan ekonomi negara.
“Saya mengatakan langkah ini tidak (harus) dilaksanakan dalam tahun ini dan sehingga perniagaan kembali pulih,” tambahnya.
Sementara itu, Setiausaha DUBS Miri Abdul Razak Joni berpendapat, tahap kenaikan itu akan menyebabkan pengusaha terpaksa menaikkan harga kepada pelanggan dan kitaran inflasi ini tidak akan dapat diselesaikan.
Beliau mencadangkan agar proses pengambilan pekerja asing dipermudah dan dipercepatkan untuk membantu majikan dari aspek kekurangan tenaga kerja.
Dalam perkembangan sama, pengusaha Fatimah Abdul Hamid berkata, untuk perusahaan kilang yang memerlukan ramai kakitangan kategori berkemahiran rendah, tahap gaji tersebut boleh membebankan majikan dan kos perniagaan.
“Jika sesebuah syarikat telah mampu diangkat menjadi syarikat yang berteknologi tinggi, dengan automasi dan digitalisasi, pelaksanaan jumlah gaji minimum tersebut mungkin boleh disambut dengan wajar,” jelasnya.
Pada 5 Februari lalu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata pekerja negara ini dijangka menikmati penetapan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.
Walaupun nilai sebenar kadar baharu itu belum dimuktamadkan, beliau positif perkara itu boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.
utusanborneo.com.my/2022/02/11 |