JAKARTA – Seramai 11 individu dilaporkan terkorban akibat diseret ombak besar ketika melakukan ritual tradisional di Pantai Payangan, Jember, Jawa Timur, lapor laman berita Detik News semalam.
Salah seorang daripada mangsa ialah anggota polis dari Balai Polis Pujer yang turut menyertai ritual berkenaan.
Menurut laporan polis, mayat mangsa terakhir berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat selepas operasi berjalan selama tiga jam.
“Mereka dilaporkan lemas ditarik ombak sekitar pukul 1 pagi kelmarin dan terus hilang.
“Kesemua mangsa dikatakan sedang menjalani satu ritual dengan pimpinan seorang ketua,” kata Ketua Polis Jember, Asisten Komisioner Hery Purnomo.
Tambah Hery, ritual yang dilakukan oleh mangsa adalah proses menenangkan diri dan kesemua mereka datang dari pelbagai daerah di Jember.
“Ritual ini bertukar tragedi kerana mangsa dipukul ombak besar akibat air pasang,” jelas Hery.
Secara keseluruhan, terdapat 24 orang ahli kumpulan yang mengikuti ritual itu, namun sebahagian mereka tidak ikut serta mandi di dalam laut. – Agensi
kosmo.com.my/2022/02/15 |