
TINJAU: Henry Sum (tiga kiri) menunjuk ke arah tapak projek Hospital Lawas yang baharu kepada Aaron (dua kiri) sambil disaksikan Ladin (kiri) dan Kueh (empat kiri).
LAWAS: Masalah kekurangan tenaga kerja antara faktor utama menyebabkan kelewatan projek kerajaan di seluruh negara termasuk pembinaan Klinik Kesihatan Lawas dan Hospital Lawas di sini.
Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang yang mengadakan lawatan rasmi sehari ke Lawas berkata, faktor lain yang menyebabkan kelewatan tersebut ialah isu bekalan bahan binaan, cuaca dan wabak COVID-19 yang melanda negara sejak Januari 2020.
“Kami memahami situasi itu dan kami berharap pandemik COVID-19 akan semakin reda dan bertambah baik supaya projek-projek ini dapat disambung semula dan disiapkan dalam jangka masa yang ditetapkan.
“Bagi projek di Lawas, kita dimaklumkan bahawa masalah utamanya ialah bekalan sumber manusia untuk bekerja di dua tapak pembinaan ini,” katanya pada sidang media selepas melawat kedua-dua tapak pembinaan itu hari ini.
Tambahnya, walaupun permohonan untuk membawa masuk pekerja Indonesia ke tapak tersebut diluluskan, ternyata tiada seorang pun yang benar-benar dapat masuk, mungkin disebabkan wabak COVID-19.
Bagi penduduk tempatan pula, Aaron berkata mereka mempunyai pilihan lain seperti bekerja di negara jiran Brunei.
“Dari segi gaji, mereka membayar lebih tinggi di Brunei dan ini menjadi masalah kontraktor tempatan yang juga menghadapi kekurangan pekerja mahir di sini,” tambahnya.
Mengenai isu bekalan bahan binaan, timbalan menteri itu berkata hanya terdapat satu kilang di Lawas yang membekalkan simen campuran ke semua tapak pembinaan di sini termasuk dua projek di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Jika bekalan tidak mencukupi, mereka terpaksa membawa masuk dari Kuching atau Sabah," katanya.
Beliau menegaskan kedua-dua projek itu penting bagi menggantikan bangunan hospital yang berusia 50 tahun yang hanya mempunyai 46 katil dan klinik yang kini menyewa unit rumah kedai di sini.
Terdahulu, Aaron melawat tapak projek untuk Klinik Kesihatan Lawas dan Hospital Lawas di mana beliau diberi taklimat mengenai kemajuan kedua-dua projek itu.
Pembinaan Klinik Kesihatan Lawas yang berharga RM25,775,775.00 telah dimulakan pada 17 September 2020.
Menurut pengurus projek Shabine Danis, tarikh awal siap pada 16 September tahun ini tetapi semakan semula, ia dilanjutkan kepada 21 November 2022.
“Projek itu ketinggalan 32.46 peratus atas pelbagai sebab iaitu kekurangan tenaga kerja, kekurangan bekalan konkrit dan pekerja yang dijangkiti COVID-19.
“Tindakan telah diambil untuk menangani kelewatan itu termasuk memanjangkan waktu bekerja, menambah lebih ramai tenaga kerja dan melakukan perancangan mengejar masa,” jelasnya.
Bagi projek Hospital Lawas pula, pengurus projek Muhammad Adam Kadir mendedahkan bahawa projek itu juga ketinggalan daripada jadual sebanyak 4.15 peratus disebabkan kekurangan tenaga kerja.
Projek Hospital Lawas merupakan salah satu projek mega di sini yang dinanti-nantikan oleh masyarakat Lawas selama bertahun-tahun.
Tarikh awal siap bagi projek yang menelan belanja RM165 juta itu ialah 26 Disember 2023 tetapi telah disemak semula, ia dilanjut kepada 24 Februari 2024.
Hospital baharu itu akan merangkumi 76 katil untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak, pejabat pentadbiran, unit hemodialisis, bilik bersalin, bilik mayat, bank darah, unit patologi, bilik x-ray dan unit kafeteria.
Turut hadir mengiringi Aaron pada lawatan itu ialah Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Pegawai Daerah Ladin Atok dan Jurutera Awam Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia Kueh Song Ping.
utusanborneo.com.my/2022/02/21 |