
[backcolor=rgba(0, 0, 0, 0.05)]TARIKAN BAHARU: Tiang (dua kanan), Lau (empat kanan), wakil Pristine House & Harta-Maintenance Sdn Bhd Janet Chua (kanan) dan yang lain merakam kenangan berlatarbelakangkan lukisan mural komik oleh Jagung (lima kiri) di belakang bangunan di Jalan Ramin, Sibu hari ini.
[backcolor=rgba(0, 0, 0, 0.05)]
SIBU: Ruang letak kenderaan di belakang bangunan lama di Jalan Ramin dekat sini, akan dibangunkan sebagai salah satu lokasi baharu pelancongan domestik di Sibu menerusi penghasilan lukisan mural pada tujuh blok dinding belakang bangunan tersebut. Menurut Menteri Muda Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang, beliau tertarik dengan idea dan visi Presiden Kelab Rekreasi Raminway Richard Lee Ning untuk memberi nafas baharu kepada kawasan berkenaan, pada masa yang sama memulihara seni bina asal bangunan tersebut. Sehubungan itu, beliau bersama Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew dan seorang lagi rakan kongsi iaitu Pristine House & Harta-Maintenance Sdn Bhd bersetuju menjadi penaja utama kepada bahagian pertama projek lukisan mural pada dinding belakang bangunan Kelab Rekreasi Raminway yang dirasmikan hari ini. "Disebabkan bangunan ini adalah bangunan lama yang belum boleh dianggap sebagai bangunan warisan, jadi ramai pemilik merobohkannya atau menaik taraf bangunan mereka sekali gus melenyapkan elemen-elemen nostalgik bangunan lama di Sibu. "Namun Lee berjaya menarik perhatian saya dengan idea beliau untuk mengindahkan kawasan ini. Saya menyukai visi beliau untuk memberi nafas baharu kepada bangunan lama di sini tanpa meroboh atau menaik taraf bangunan tersebut. "Dengan usaha sedemikian, saya yakin kita mampu mewujudkan satu lagi tarikan baharu di Sibu untuk pelancong atau tempat anak muda berkumpul," katanya ketika ditemui pemberita pada simbolik perasmian lukisan mural tersebut hari ini. Menurut Tiang, projek lukisan mural yang dirasmikan semalam merupakan sentuhan seni anak tempatan iaitu Aries Kong atau Jagung yang berjaya disiapkan awal Februari lalu. Katanya, bahagian pertama mural daripada keseluruhan projek yang menelan kos RM40,000 itu adalah gambaran awal kepada keseluruhan projek yang dijangka siap pada tahun ini. "Jadi, saya merakam ucapan tahniah kepada Lee kerana berjaya menyiapkan mural berkonsepkan lukisan komik pada dinding belakang bangunan mereka di Jalan Ramin di sini yang merupakan bahagian pertama kepada projek ini. "Untuk bahagian lain mungkin kita akan menjemput pelukis-pelukis lain, jadi kita akan mempunyai lukisan mural yang pelbagai reka bentuk dan gaya," katanya. Untuk bahagian projek mural membabitkan blok-blok bangunan selebihnya katanya, beliau akan cuba memohon dana daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak. Beliau juga katannya, telah bertemu dengan beberapa pemilik bangunan tersebut dan mereka menyambut baik idea untuk projek ini. "Sudah tentu bukan untuk lukisan mural sahaja, tetapi kita juga bercadang untuk mentransformasikan kawasan ini kepada bazar untuk usahawan muda atau bazar pada hari Minggu untuk menarik pengunjung khasnya pelancong domestik. "Sebab itu, kita memerlukan sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak di bawah pimpinan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah untuk mentransformasi kawasan ini," katanya sambil menambah, akan turut memohon kerjasama daripada Majlis Perbandaran Sibu (MPS) daripada aspek kebersihan kawasan. Sementara itu, Lau ketika ditemui berkata, adalah penting untuk memulihara apa-apa bentuk warisan atau bangunan lama di Sibu sebagai tarikan pelancongan. "Seni bina bangunan ini walaupun sudah lama, tetapi sangat unik terutama pada reka bentuk tangganya yang berlingkar di belakang bangunan manakala seni bina juga dalam bentuk segi tiga yang mana cara yang baik untuk mereka bentuk kawasan bandar. "Jadi, saya percaya kawasan ini mampu menjadi tarikan orang ramai, yang akan dikongsi di laman sosial mereka seperti di Instagram atau laman sosial yang lain," katanya.
utusanborneo.com.my/2022/02/21
|