Edited by Vellfire at 22-2-2022 12:05 PM

TAHAN: Dua lelaki tempatan ditahan bawa minuman keras tanpa cukai.
BELURAN: Dua lelaki yang didapati membawa lebih 200 kotak minuman keras tidak bercukai ditahan dalam operasi di Jalan Nangoh-Paitan, di sini, kelmarin.
Suspek ditahan menerusi operasi pemantauan Op Khas Tiger Platoon, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran kira-kira jam 4.50 petang.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata semua minuman keras itu dipercayai diseludup masuk menggunakan sebuah van.
“Kedua-dua suspek yang ditahan adalah rakyat tempatan berumur 31 tahun dan dipercayai berasal dari daerah Keningau.
“Minuman keras yang dianggarkan bernilai RM58,278 selepas cukai dan van yang digunakan suspek itu dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Katanya, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan van berkenaan dianggarkan bernilai RM138,278 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Kedua-dua suspek yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk siasatan lanjut.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/02/22 |