Edited by Vellfire at 22-2-2022 12:09 PM

KUCHING: Seorang pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM3,500 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencabul kenalan wanitanya dengan cara menyentuh payudara mangsa.
Tertuduh, Erwan Efindi, 27, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang berusia 26 tahun di tingkat dua sebuah premis di Matang Ria Commercial Centre, Jalan Matang di sini kira-kira jam 4.50 petang pada 16 Februari lalu.
Lelaki berkenaan dituduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan cara menyentuh payudara mangsa tanpa kerelaan mangsa dengan niat untuk mencabul kehormatannya.
Dia dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.
Pertuduhan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut keterangan kes, mangsa (pengadu) hendak menyerahkan semula kunci yang dipinjamnya kepada tertuduh selepas membuka mangga pagar utama bangunan tempat kejadian pada hari tersebut.
Tertuduh bagaimanapun bertindak menyentuh payudara kiri mangsa dan oleh itu, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
Tertuduh seterusnya ditangkap oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 18 Februari lalu.
Dalam pada itu, Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menetapkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
utusanborneo.com.my/2022/02/22
|