|
SUSPEK dicari polis kerana memalsukan surat kematian isterinya. FOTO Agensi
Jakarta: Demi menikahi gadis impiannya, seorang lelaki di Luwu Utara, Sulawesi Selatan, Indonesia, sanggup membuat surat kematian palsu isterinya.
Dengan menggunakan surat kematian palsu itu, ia membolehkan lelaki terbabit berkahwin dengan gadis berusia 19 tahun berkenaan.
Bagaimanapun, pernikahan itu terbongkar selepas ia diketahui isteri pertamanya.
Pasangan itu sudah bernikah sejak 10 tahun lalu dan masih sah suami isteri, namun lelaki terbabit bernikah tanpa pengetahuan isteri pertama.
Ketua Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak Polis Luwu Utara, Aipda Yuliany berkata, surat kematian palsu itu dibuat pada November 2021.
Katanya, lelaki itu berkahwin kali kedua, sedangkan isteri pertama masih hidup dan tinggal di Maluku.
Beliau berkata, surat itu digunakan sebagai pengesahan lelaki itu berstatus duda dan membolehkan dia berkahwin kali kedua.
"Suspek lelaki sebelum ini tinggal bersama isterinya di Maluku, namun pulang ke kampung di Desa Bone Subur.
"Dia kemudian menukar kad pengenalan keluarga tanpa pengetahuan isterinya.
"Dalam tempoh enam bulan, suspek tidak pulang ke Maluku, sebelum isterinya mendapat maklumat mengenai pernikahan keduanya," katanya seperti dilaporkan portal Kompas.
Menerusi maklumat yang diterima, polis berusaha menjejaki suspek lelaki bersama isteri baharunya.
Namun, pasangan itu dikatakan sudah meninggalkan kampung berkenaan tanpa diketahui lokasi terkini mereka.
|
|