|
TINA Ennis (kanan) dan Jill Lopez. FOTO Facebook
Oklahama: Dua wanita menyaman hospital di sini, selepas kesilapan menyebabkan mereka yang ketika itu bayi tertukar keluarga kandung, lebih separuh abad lalu.
Tina Ennis dan Jill Lopez, 57, dilahirkan di Hospital Duncan di Amerika Syarikat, pada 18 Mei 1964.
Kedua-duanya mendakwa seseorang tersilap dan menyebabkan kejadian itu, lapor Daily Beast.
Namun, kebenaran itu diketahui selepas Tina menghantar laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kepada ancestry.com dan menerima laporan meragukan.
Tina berkata, dia sedar fizikalnya lebih kurus dan tinggi berbanding ibunya dan dua adik lain.
Namun ibunya, Kathryn Jones bertegas Tina kelihatan seperti 'bapa kandungnya' yang meninggalkan mereka ketika dia berusia dua tahun.
Pada 2019, Tina mengambil sampel DNA datuknya untuk mengetahui lebih lanjut asal usulnya.
Apabila keputusan DNA keluar, dia bingung kerana laporan itu mengandungi nama ahli keluarga yang tidak dikenalinya.
Ibunya juga tidak mengenali nama tersenarai dalam laporan itu, sebelum sekali lagi menjalani ujian.
Ujian kali ini juga menunjukkan mereka tiada pertalian biologi.
Tina bertemu Jill yang lahir pada hari sama, namun mempunyai fizikal menyerupai Kathryn.
Jill menjalani ujian DNA dan menunjukkan Kathryn adalah ibu kandungnya.
"Jantung saya seperti terhenti seketika kerana terkejut dengan apa yang saya ketahui ini," katanya.
Jill akhirnya menemui semula ibu kandungnya, manakala Tina kecewa kerana ibu dan bapa kandungnya meninggal dunia.
|
|