Edited by Vellfire at 25-2-2022 12:31 PM

Suspek ketika ditahan dalam serbuan di rumah pekerja sebuah ladang di sini.
MUKAH: Cubaan seorang buruh warga Indonesia menyembunyikan dadah dalam kotak rokok terbongkar apabila dia ditangkap polis di sebuah rumah pekerja ladang di sini petang Khamis.
Menurut Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias, suspek berusia 21 tahun itu ditangkap dalam satu serbuan yang dijalankan sekitar jam 2.30 petang.
"Hasil peneriksaan pada tubuh badan suspek, kita telah merampas satu kotak rokok yang mana di dalamnya mengandungi satu keratan penyedut minuman lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methampethamine," katanya kepada Utusan Borneo.
Jelasnya, berat dadah dianggarkan 0.24 gram.
Tegasnya, suspek ditahan dan dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah untuk siasatan lanjut.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kegiatan dadah sejak awal September tahun lalu," kata Muhamad Rizal.
Bagaimanapun, tambahnya, hasil ujian saringan air kencing suspek didapati negatif.
Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
utusanborneo.com.my/2022/02/25 |