
Anggota bomba sedang berusaha membantu mangsa yang tersepit tangan kanannya di celah batu ketika melakukan aktiviti menangkap ikan bersama rakannya di Sungai Ulu Awik.
SARATOK: Seorang lelaki berhadapan situasi mencemaskan apabila tangan kanannya tersepit di celah batu ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di Sungai Ulu Awik, dekat sini petang Jumaat.
Kejadian ini dilaporkan berlaku sekitar jam 4 petang, ketika mangsa berusia 31 tahun sedang menangkap ikan bersama rakannya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok, Muhammad Shukur Jamaludin berkata, bomba menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian tersebut pada jam 4.20 petang.
"Sejurus menerima panggilan tersebut, sepasukan anggota bomba telah dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak 17 kilometer dari balai.
"Ketika sampai dilokasi kejadian, anggota bomba mendapati separuh daripada badan mangsa berada di dalam air, sementara itu tangan kanannya masih lagi tersepit di celah batu dalam sungai tersebut.
"Anggota bomba bertugas telah berusaha melepaskan tangan mangsa yang tersepit dengan menggunakan kemahiran mereka dan usaha tersebut telah berjaya membuahkan hasil apabila tangan mangsa tersepit berjaya dilepaskan dalam tempoh 15 minit," katanya ketika dihubungi media, hari ini.
Muhammad Shukur menambah, setelah mangsa berjaya diselamatkan, bomba memberi rawatan awal bagi merawat tangan mangsa yang tercedera.
Menurutnya lagi, setelah rawatan awal diberikan kepada mangsa, bomba kemudian membawa mangsa untuk mendapatkan rawatan selanjutnya di Hospital Saratok dengan menggunakan kenderaan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bomba.
utusanborneo.com.my/2022/02/26 |