
Dr Sim (dua kanan) dan Lo (kanan) bersama ahli MPP lain semasa merasmikan Pusat Kitar Semula Desa Wira, hari ini.
KUCHING: Sarawak diunjur menunjukkan trend peningkatan kes COVID-19 secara mendadak dalam beberapa minggu akan datang, kata Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan mengakui terdapat juga kes yang tidak dapat dikesan dan tidak dilaporkan sekali gus tidak termasuk dalam jumlah kes yang dijangkiti.
"Malah pakar tempatan menyatakan mungkin terdapat kes positif yang tidak dilaporkan kerana ujian kendiri, pengasingan diri dan pemantauan diri yang dianggap menjadi kebiasaan kepada kita semua di Sarawak.
"Ini yang kita panggil hidup dengan virus... namun saya ingin menekankan kita harus berhati-hati kerana walaupun varian Omicron menyebabkan gejala lebih ringan, tetapi ia boleh mengancam kesihatan jika anda sudah tua dan kumpulan berisiko," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Kitar Semula Desa Wira yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang di sini, hari ini.
Dr Sim berkata, di Sarawak Ketua Menteri telah mengarahkan pihak berkuasa untuk mendapatkan sebarang ubat COVID-19 tanpa mengira harganya demi manfaat rakyat. "Kini kita sedang berunding dengan Pfizer-BioNTech untuk pil antiviral baharu.
"Sebelum ini, kita adalah satu-satunya negeri yang memperoleh ubat Roche (Regenaron - untuk hasilkan rawatan). Ia berharga RM5,000 bagi setiap penggunaan dan hanya terdapat di hospital awam di Sarawak," katanya.
Sementara itu, mengenai Pusat Kitar Semula Desa Wira, Dr Sim berkata pusat itu telah dibina dan siap pada 24 Disember 2021.
Katanya, objektif membina pusat berkenaan bagi menyediakan kemudahan kitar semula kepada masyarakat di Desa Wira dan Batu Kawa amnya. Selain itu ujarnya, ia juga menyediakan pusat memproses bahan dan mengumpul bagi asas kitar semula.
utusanborneo.com.my/2022/02/26 |