|
MIA. FOTO Facebook.
Kyiv: Seorang ibu melahirkan bayi perempuannya di stesen tren (metro) bawah tanah semasa serangan Rusia ke atas Ukraine di Kyiv.
Gadis berusia 23 tahun itu melahirkan bayi perempuan dinamakan Mia, dengan bantuan polis bandar itu, lapor The Sun.
Gambar yang menyayat hati yang diambil beberapa saat selepas Mia dilahirkan, dan dikongsi di Facebook oleh Hannah Hopko, seorang ahli politik Ukraine.
"Mia dilahirkan malam ini dalam persekitaran yang tertekan, pengeboman Kyiv.
"Ibunya gembira selepas bersalin dalam keadaan mencabar dan segera ke tempat perlindungan.
"Apabila Putin membunuh rakyat Ukraine, kami merayu ibu di Rusia dan Belarus untuk membantah perang Rusia di Ukraine. Kami mempertahankan nyawa dan kemanusiaan," kata Hopko yang juga Pengerusi Persidangan Tindakan Demokrasi.
Satu lagi hantaran menunjukkan gambar yang diambil pada masa kelahiran seorang lagi bayi lain.
Hopko yang mengesahkan berkongsi gambar itu dengan kebenaran ibu berkenaan, menjelaskan bagaimana kelahiran bayi lelaki itu berlaku pada hari ketiga negara itu dilanda perang.
"Sementara itu, di wad bersalin di ruang bawah tanah, suara bayi yang baru lahir… ia lelaki," katanya.
Bayi berkenaan lahir ketika Putin melancarkan pasukan khas maut yang dikenali sebagai "pemburu" sementara dia melancarkan satu lagi usaha terdesak untuk mengambil alih Ukraine.
Sementara itu, gambar dan video dari Kyiv menunjukkan kenderaan terbakar, bangunan terkena serangan peluru yang jelas, dan asap serta api menjulang di udara.
Sebuah video yang dikongsi di Twitter menunjukkan kenderaan terbakar di Peremohy Avenue Kyiv, jalan kedua terpanjang di bandar itu berikutan tembakan yang dilaporkan, walaupun tidak jelas sama ada kenderaan itu milik Ukraine atau Rusia, sama ada kepunyaan tentera atau awam.
Kerajaan Ukraine mendakwa tentera Rusia berperang menentang tentera mereka berhampiran stesen tren Beresteiska, hanya kira-kira lapan kilometer dari Dataran Maidan di tengah Kyiv.
Tentera Rusia turut menyerang pangkalan tentera di bandar itu tetapi berjaya dipatahkan, dakwa tentera Ukraine dalam catatan Facebook awal Sabtu.
Dalam perkembangan lain, agensi Interfax Ukraine berkata, askar Rusia cuba menawan salah satu stesen penjanaan elektrik Kyiv.
Letupan artileri kuat kedengaran berhampiran pusat bandar, manakala seorang wartawan Kyiv Independent mendakwa pertempuran sengit berlaku berhampiran Zoo Kyiv.
Wartawan Washington Post di bandar itu melaporkan berpuluh-puluh letupan di bandar itu.
Peta Google menunjukkan beberapa jalan utama di dalam dan luar bandar ditutup, termasuk di sekitar Dataran Maidan, dan jalan-jalan utama yang menghala ke dan dari lapangan terbang bandar.
|
|