View: 1522|Reply: 0
|
Tawarkan 'tunda' kereta kebal pulang ke Rusia
[Copy link]
|
|
TANGKAP layar daripada rakaman kejadian yang tular di media sosial.
Kyiv: Seorang lelaki Ukraine menawarkan untuk menunda kereta kebal musuh kembali ke Rusia, selepas melihat kenderaan itu berhenti di tengah-tengah lebuh raya kerana kehabisan minyak.
Klip video yang tular itu menunjukkan pemandu itu berhenti di samping kenderaan tentera yang tidak bergerak itu, dan bertanya kepada beberapa askar sama ada kenderaan mereka rosak.
Apabila diberitahu bahawa mereka kehabisan minyak, pemandu itu ketawa dan bertanya apakah dia boleh menunda mereka balik ke Rusia.
"Bolehkah saya menunda (kenderaan) kamu kembali ke Rusia?," soal lelaki itu.
Berdasarkan terjemahan pada media sosial berkenaan dia kemudian memberitahu tentera Rusia bahawa mereka dalam perjalanan ke Kyiv.
Ia selepas askar berkenaan tidak memaklumkan destinasi yang dituju.
Ketika ditanyakan mengenai konflik berkenaan, dia memberitahu mereka bahawa Ukraine memenangi perang, manakala tentera Moscow menyerah diri kerana mereka juga tidak tahu ke mana mereka pergi.
Rakaman itu menunjukkan dia memandu melepasi sebuah lagi kereta kebal yang berhenti di kawasan itu.
Walaupun The Independent tidak dapat mengesan asal usul rakaman itu, kedua-dua kereta kebal itu kelihatan seperti kenderaan MT-LB amfibia Soviet, dan kereta kebal tempur Rusia T-72B3 yang digunakan oleh Moscow dalam konflik itu.
Rakaman itu dikongsi secara meluas oleh wartawan, termasuk BBC, dan pegawai kerajaan seperti bekas ketua pertahanan Estonia, Riho Terras.
"Adakah ini kelihatan seperti pasukan yang bersedia untuk memerangi konflik yang berpanjangan.
"Mereka tidak mempunyai bahan api, tiada motivasi, mereka tidak tahu ke mana mereka sepatutnya pergi. Tetapi ia menunjukkan betapa tidak bersedianya gelombang pertama pencerobohan Rusia ini.
"Walau bagaimanapun, perkara ini tidak semestinya kerana kemenangan Ukraine. Tidak, kita berada di hari pertama konflik dan keadaan terdesak boleh mendorong Putin melakukan tindakan keji. Namun, gembira melihat semakin banyak negara Barat menghantar senjata kepada orang Ukraine," kata Terras.
Scott Gehlbach, ahli ekonomi politik Universiti Chicago yang pakar di Rusia dan Ukraine, mencadangkan terdapat "banyak bukti bahawa Rusia gagal dalam (aspek) logistik operasi ketenteraannya."
"Tetapi saya fikir video ini menggambarkan satu lagi masalah Putin iaitu kegagalan untuk menyediakan rakyat Rusia, termasuk askarnya, untuk berperang."
"Rusia mungkin dapat mengimbangi ketiadaan semangat juang yang tinggi, tetapi kekurangan persediaan logistik dan ideologi memberi bayangan korban yang lebih besar, tentera dan orang awam,"katanya.
Ia bukan satu-satunya laporan kereta kebal Moscow kehabisan bahan api ketika pencerobohan Vladimir Putin ke atas jirannya memasuki hari ketiga, dengan seorang menteri kerajaan United Kingdom (UK) antara yang berpendapat rancangan Kremlin tidak sesuai di tengah-tengah tentangan kuat Ukraine.
Akaun Facebook tentera Ukraine pada Jumaat mendakwa tentera Rusia berhenti berhampiran Konotop, timur laut Kyiv kerana mempunyai masalah dengan bahan api dan bekalan.
Menurutnya, tentera penceroboh berjalan-jalan membawa bekas dan cuba membeli bahan api dan yang lain menuntut makanan daripada penduduk tempatan.
"Tentera utama yang menghampiri Kyiv masih agak jauh. Itu adalah bukti tentangan luar biasa tentera Ukraine sejak 48 jam yang lalu," kata Menteri Pertahanan UK James Heappey kepada Sky News pada hari Sabtu.
"Jelas sekali rancangan Rusia adalah untuk mengambil Kyiv tetapi realitinya ialah Ukraine menggagalkan mereka setakat ini. Nampaknya rancangan Rusia hampir tidak sesuai untuk dilaksanakan," katanya.
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|