
MUKAH: Seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Mukah mengalami kerugian RM110,000 apabila menjadi mangsa sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias, kejadian berlaku pada 12 Februari lalu apabila wanita itu dikatakan dihubungi oleh seorang pemanggil yang mendakwa dari LHDN.
"Mangsa dikatakan mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM36,690.00 dan juga sebuah syarikat didaftarkan di bawah namanya," katanya kepada Utusan Borneo.
Menurutnya, pemanggil menasihati mangsa untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang kerana syarikat tersebut dikatakan berada di Kuantan, Pahang.
Mangsa yang cemas apabila didakwa terlibat dengan jenayah penggubahan wang haram dan kegiatan dadah, memberikan semua butiran peribadi, perbankan serta nombor TAC atas arahan, kononnya untuk siasatan dan pembekuan akaun.
Bagaimanapun pada 25 Februari, mangsa telah pergi ke satu cawangan bank di Mukah dan apabila diperiksa, sejumlah wang tunai RM110,000 dipindahkan dari akaunnya ke satu nama akaun penerima lain bank berlainan.
Mangsa yang rasa tertipu tampil membuat aduan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
utusanborneo.com.my/2022/02/27 |