Edited by Vellfire at 1-3-2022 03:10 PM

LANTIKAN SEMULA: Taib menandatangani Surat Angkat Sumpah di hadapan Abang Johari (duduk, kiri) dan Abang Iskandar (duduk kanan). – Gambar Penerangan
KUCHING: Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud hari ini mengangkat sumpah pelantikan sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi penggal ketiga.
Istiadat angkat sumpah yang diadakan di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini dimulakan dengan memohon perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi memulakan istiadat oleh Pendaftar Istiadat Datu Mustapa Han.
Ia diikuti bacaan Surat Cara Pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Tun Taib kemudian mengangkat sumpah pelantikan seterusnya menandatangani Surat Angkat Sumpah disaksikan Hakim Besar Sabah Sarawak Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan menandatangani Surat Pengisytiharan disaksikan Abang Johari.
Tun Taib mengangkat sumpah pelantikan semula sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini (1 Mac 2022) setelah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menerima Surat Cara Pelantikan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 28 Februari 2022.
Lantikan pertama Tun Taib ke jawatan tersebut adalah pada 1 Mac 2014, manakala lantikan kedua pada 1 Mac 2018.
Terdahulu, Tun Taib menerima Hormat Diraja daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama Batalion Ke-10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak di pekarangan DUN.
Hadir sama isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib, isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion serta tetamu kenamaan lain.
utusanborneo.com.my/2022/03/01 |