SIBU: Musibah kebakaran yang mengorbankan tiga sekeluarga di Kampung Bahagia Jaya, Teku di sini malam Selasa tidak melibatkan unsur jenayah.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 4 Sibu Penguasa Kanan Bomba 1 Janggan Muling berkata, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya spekulasi bahawa insiden kebakaran itu disengajakan.
"Hasil siasatan awal pihak Unit K9 dari Kuching mengesahkan kebakaran itu bukan disebabkan khianat atau elemen jenayah," katanya ketika dihubungi hari ini.
Keadaan rumah yang terbakar dan meragut tiga nyawa.
Katanya, berdasarkan penyiasatan Unit K9 yang turut dibawa ke lokasi kejadian awal pagi tadi, mereka tidak menemui sebarang bukti yang mencurigakan.
"Semasa berada d lokasi, anjing pengesan K9 telah terlebih dahulu memasuki kawasan kebakaran namun tidak mengesan apa-apa bukti yang mencurigakan.
"Biasanya anjing pengesan akan menghidu sesuatu atau bau petrol dan ia tidak akan keluar dari situ jika ada petunjuk," jelasnya.
Oleh yang demikian, katanya Unit K9 dan Forensik Bomba Sibu telah mengesahkan bahawa kebakaran tersebut tiada unsur jenayah.
"Bagaimanapun, siasatan akan terus dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran itu," tambah beliau.
Janggan juga mengesyorkan agar setiap rumah dilengkapi dengan satu alat pemadam api sebagai pencegahan peringkat awal apabila berlaku kebakaran.
Dalam kejadian jam 8.00 malam, tiga sekeluarga iaitu Abdullah Bus, 64, Suriaty Abdullah, 20, dan Rasidah Suut, 80, ditemui maut selepas terperangkap di dalam rumah kedua yang musnah 100 peratus manakala rumah pertama yang terletak di bahagian hadapan musnah 90 peratus.
utusanborneo.com.my/2022/03/02 |