|
Datuk Ahmad Marzuk Shaary. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kota Bharu: Pasangan yang ingin berkahwin di negara jiran perlu memilih kaedah yang betul dan jangan menggunakan khidmat sindiket bagi mengelakkan masalah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa mempermudahkan urusan berkaitan hal itu termasuk sepanjang tempoh pandemik Covid-19, baru-baru ini.
"Jakim sentiasa mempermudahkan urusan dan nasihat saya supaya tidak berlakunya kesulitan yang tak berkesudahan, semua pasangan yang ingin berkahwin perlu memilih cara yang betul ikut undang-undang.
"Dalam tempoh pandemik (Covid-19) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita ada pelbagai cara dan kaedah bagi mempermudahkan tapi kalau ada pihak tertentu yang ingin mengambil mudah, itu cerita lain," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Terdahulu, beliau hadir dalam majlis Kejohanan Muay Thai Kebangsaan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, di sini.
Ahmad Marzuk berkata, setiap negeri mempunyai garis panduan tersendiri dalam menguruskan hal perkahwinan termasuk berkenaan poligami dengan syarat tertentu.
Menurutnya lagi, selain berkahwin menggunakan khidmat sindiket, ingin menyorokkan perkahwinan daripada isteri terdahulu juga menyebabkan timbul masalah di kemudian hari.
"Nak ambil mudah, sorok dari isteri pertama dan kahwin pakai sindiket.. itu cara mudah tapi akhirnya berlaku kepayahan yang berpanjangan.
"Sudah ada garis panduan setiap negeri bagaimana untuk uruskan perkahwinan termasuk dari sudut poligami sendiri dengan syarat tertentu maka kalau kita sebagai lelaki sejati, jangan takut, buat macam biasa," katanya.
Laporan sebuah akhbar kelmarin menyatakan lebih 100 pasangan tempatan tidak dapat mengesahkan pernikahan di Thailand, sekali gus gagal mendaftarkan perkahwinan mereka di mahkamah syariah, gara-gara pintu sempadan negara ditutup selain berdepan kerenah birokrasi.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengarah Urusan Firma Guaman Aniza Nazri Consultancy, Ahmad Nazri Minhat yang memberitahu, agensinya menerima banyak permohonan daripada pasangan yang berdepan masalah itu.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|