|
Walaupun baru berusia 13 tahun, Putri Armani atau Kowachee cukup gembira apabila berjaya membeli sebuah kereta hasil titik peluhnya sendiri.
Berkongsi perkara itu di Instagram, dia sama sekali tidak pernah membayangkan dirinya memiliki kereta sendiri pada usia yang masih muda.
Menyedari usianya masih belum mencapai syarat minimum untuk mendapatkan lesen memandu, remaja itu menjelaskan kereta berkenaan dipandu oleh ibunya.
"Alhamdulillah, lima hari selepas menyambut ulang tahun ke-13, saya memiliki sebuah kereta. Tak sangka saya berjaya memilikinya pada usia yang masih muda.
"Kerjaya tarian bermula sebagai terapi yang akhirnya bertukar menjadi minat. Kemudian mulai ketagih dan hasilnya ia menjadi profesion," katanya.
Jelas Kowachee lagi, perkongsian berkenaan bukan bertujuan untuk membangga diri tetapi sebagai inspirasi untuk berjaya pada usia muda.
Terdahulu, Kowachee adalah seorang atlet PELAPIS Selangor dalam sukan gimnastik artistik sejak usia empat tahun dan menjadi wakil negeri sehingga usianya lapan tahun. -CARI
|
|