|
AHMAD Yakob menyempurnakan gimik pengisytiharan Taman Bandar Tumpat di Tumpat, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
TUMPAT: Taman Bandar Tumpat, di sini seluas hampir 24 hektar yang kini dalam pelaksanaan mampu menjadi tarikan pelancong terbaharu di Kelantan, sekali gus meningkatkan sosioekonomi rakyat.
Taman bernilai RM24 juta itu dibangunkan secara berperingkat dengan fasa pertama dimulakan dengan penanaman 400 pokok yang berfungsi sebagai pencegah hakisan pada musim tengkujuh, September ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerja-kerja membangunkan taman itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
“Kita merancang membangunkan Taman Bandar Tumpat kerana kawasan ini terletak berdekatan laut terbuka dan sesuai dijadikan lokasi rekreasi. Usaha ini dilakukan bersama pelbagai agensi lain.
“Fasa pertama taman bermula September ini, iaitu penanaman 400 pokok yang dibuat dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK), selain proses menimbun pasir di sekitar kawasan itu,” katanya selepas menghadiri Program Jupo Mata Menteri Besar Bersama Rakyat serta Pengisytiharan Taman Bandar Tumpat di Kampung Baru Nelayan, di sini hari ini.
Ahmad dalam pada itu berkata, selain berfungsi sebagai lokasi rekreasi dan tumpuan pelancong, Taman Bandar Tumpat juga akan dibangunkan sebagai lokasi memancing untuk peminat aktiviti tersebut. – UTUSAN
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|