|
Kuantan: Seorang penerjun yang terjun dari menara kedua tertinggi negara, Kuantan 188, cedera selepas terhempas pada pokok, hari ini.
Mangsa berusia 50 tahun yang juga peserta program terjun tapak mengalami kecederaan di kepala, dalam kejadian pada 11.15 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu terjun dari menara tetapi tersasar daripada kawasan pendaratan dan akhirnya terhempas pada pokok.
"Mangsa terhempas ketika cuba mendarat berhampiran menara. Dia mengalami cedera ringan di kepala dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Hospital di sini," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Ismail Abdul Ghani berkata, pasukan EMRS Taman Tas yang ditempatkan sepanjang program berlangsung di Kuantan 188 berdekatan Sungai Kuantan itu sempat memberikan rawatan awal.
"Mereka memberi rawatan kecemasan sebelum mangsa dihantar ke hospital. Jabatan menempatkan enam anggota bersama sebuah bot untuk bersiap sedia sekiranya kecemasan, sepanjang program," katanya. |
|