
Anggota bomba menemui mayat mangsa yang rentung dalam kebakaran yang berlaku petang semalam di Kampung Masjid, Kuala Baram, Miri.
MIRI: Seorang kanak-kanak 12 tahun maut dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Masjid, Kuala Baram, dekat sini, petang tadi, manakala seorang lagi mangsa, warga emas melecur di bahagian badan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam kenyataan hari ini mengesahkan perkara itu dan memberitahu, mayat mangsa, yang dikenal pasti sebagai Muhd Ikram Abdullah, ditemui rentung di bawah timbunan zink di kawasan bawah rumah.
Manakala, seorang lagi mangsa, Saban Mangkir, 60 mengalami kecederaan yang melecur 30 peratus di bahagian belakang badannya.
Enam mangsa yang lain selamat, dalam kejadian kebakaran itu yang memusnahkan 100 peratus stuktur rumah kayu berkenaan.
Seramai 22 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dan Miri beserta dua jentera pemadam api, dikejarkan ke tempat kejadian, selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.59 petang.
"Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal (kayu) yang musnah keseluruhannya. Terdapat seorang mangsa lelaki telah melecur 30 peratus di bahagian belakang badan manakala seorang mangsa lelaki berumur 12 tahun telah meninggal dunia akibat kebakaran tersebut," demikian menurut kenyataan media tersebut.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.21 petang dan sehingga berita ini ditulis lewat petang tadi, operasi pemadaman masih diteruskan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Anggota bomba dan penyelamat masih melakukan tugas-tugas overhaul. Difahamkan jarak dari balai terdekat ke lokasi kejadian adalah 35 kilometer.
utusanborneo.com.my/2022/04/12 |