
PERIKSA: Suasana semasa Ops Mabuk dijalankan di Jalan Kota Kinabalu - Penampang berhadapan SMK Bahang Penampang di sini.
PENAMPANG: Tindakan empat individu memandu dalam keadaan mabuk membawa padah selepas ditahan dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) Ops Mabuk di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata operasi yang dijalankan di Jalan Kota Kinabalu - Penampang berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, Penampang dijalankan sepasukan anggota serta pegawai dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Penampang.
“Operasi ini adalah kesinambungan Op Mabuk yang dijalankan bagi mencegah dan membanteras pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang dibawah pengaruh alkohol,” katanya.
Menurutnya hasil operasi berjaya menahan empat orang pengguna jalan raya yang didapati memandu kenderaan dibawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.
“Jika disabit kesalahan, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan) 2020 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM30,000 serta penjara tidak melebihi dua tahun.
“Kesemua pesalah kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Tambahnya sebanyak 33 keping saman pelbagai kesalahan juga dikeluarkan kepada pengguna jalan raya yang mengingkari undang-undang dan sebelas daripadanya adalah saman tidak mempunyai lesen memandu.
utusanborneo.com.my/2022/04/16 |