CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 332|Reply: 0

[Pulau Pinang] MBPP nafi abai aspek keselamatan

[Copy link]
Post time 18-5-2022 12:31 PM | Show all posts |Read mode
MBPP nafi abai aspek keselamatan
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI | | 18 Mei 2022



Tung Seang (kiri) menunjukkan tembok penahan ombak pada Tembok Laut Padang Kota yang direka secara khusus dan mementingkan keselamatan orang awam.


GEORGETOWN - Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menafikan mengabaikan aspek keselamatan pada Tembok Laut Padang Laut yang baru dibuka Jumaat lalu.


Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang menjelaskan, bahagian Persiaran Teres Bawah direka untuk tujuan khusus selain sebagai persediaan fenomena air pasang.


Menurutnya, bahagian itu dijangka dipenuhi atau ditenggelami air laut ketika air laut pasang seperti yang berlaku pada 16 dan 17 Mei lalu.


"Ini bukan fenomena luar biasa kerana dijangkakan kawasan tersebut akan ditenggelami air pasang pada hari-hari yang diramalkan untuk jumlah kumulatif 30 hingga 45 hari setahun, iaitu maksimum dua hingga tiga jam.


"Memandangkan bahagian Persiaran Teres Bawah dibina untuk tujuan khusus ketika air pasang, maka tiada isu mengenai kecacatan reka bentuk pada tembok ini," katanya pada sidang akhbar di Padang Kota Lama di sini pada Rabu.


Isnin lalu, laluan bawah pejalan kaki di Tembok Laut Padang Kota Lama ditutup sementara untuk orang awam berikutan berlaku air laut pasang yang mencapai ketinggian melebihi kawasan tersebut.


Pasukan penguat kuasa MBPP turut mengawal kawasan berkenaan dan tidak membenarkan orang awam berada di laluan berkenaan.


"Persiaran Teres Bawah direka di bahagian zon pasang direka khusus supaya pengunjung dapat mendekati laut dan melihat sebahagian tinggalan tembok laut lama yang bersejarah dalam keadaan cuaca biasa.


"Cuaca, fenomena air pasang surut serta faktor lain diambil kira dan dipertimbangkan dengan teliti sebelum pembinaan dilakukan. Sistem saliran turut diuji dalam semua keadaan cuaca termasuk ribut dan air pasang surut yang luar biasa.


"Selain itu, laluan tangga ke bahagian struktur batu lapis lindung diperlukan sebagai akses untuk kerja-kerja pembersihan kerana air pasang akan membawa sampah sarap ke pinggir pantai yang merosakkan pemandangan di sini," katanya.


Tambah beliau, sebagai langkah proaktif menjaga keselamatan pengunjung, papan tanda dalam dwibahasa dipasang di pintu akses ke kawasan itu yang memaklumkan larangan masuk ketika air pasang, hujan dan ombak kuat.


"Semua lokasi di tepi laut akan mengalami keadaan cuaca melampau dan kita menasihati orang awam menjaga keselamatan terutama kanak-kanak," katanya.


Jumaat lalu, Tembok Laut Padang Kota Lama dibuka kepada orang ramai untuk aktiviti beriadah.


Projek yang menelan belanja RM12.9 juta itu merupakan inisiatif menaik taraf kawasan tersebut bagi menyediakan ruang awam berkualiti yang boleh diterima dan menarik dan inklusif untuk semua pihak.


Pembangunan jajaran tembok laut itu termasuk ruang pejalan kaki sepanjang kira-kira 570 meter dari Medan Selera Renong ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia.



Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/a ... i-aspek-keselamatan
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-2-2025 09:21 AM GMT+8 , Processed in 2.016111 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list