|

AWANG (dua dari kanan) bertanya sesuatu kepada petugas pengurusan kuarters sebuah hotel di Kuah, Langkawi. FOTO Hamzah Osman.
Langkawi: Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mengeluarkan kompaun berjumlah RM11 juta terhadap 987 majikan yang gagal mematuhi Akta 446 dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Dalam tempoh sama, sejumlah RM1 juta denda dikenakan terhadap 148 majikan bagi kesalahan sama.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, kompaun dikenakan kerana gagal dalam pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).
Beliau berkata, dalam tempoh sama juga, JTKSM membuat pemeriksaan terhadap 42,968 majikan membabitkan 176,486 penginapan.
"Sebanyak 1,427 kertas siasatan dibuka dan 148 daripadanya diambil tindakan pendakwaan membabitkan jumlah denda sebanyak RM1 juta.
"Sementara, 987 lagi diberikan izin kompaun membabitkan tawaran kompaun berjumlah RM11 juta," katanya pada sidang media selepas menyertai Op Penguatkuasaan Khas Bersepadu Akta 446 di sini, hari ini.
Awang berkata, di Kedah, sebanyak 2,269 majikan diperiksa oleh JTKSM membabitkan 7,455 penginapan dalam tempoh sama.
"Sebanyak 88 kertas siasatan dibuka dan 11 daripadanya mendapat izin dakwa dan dikenakan denda berjumlah RM49,000, manakala 77 lagi mendapat izin kompaun berjumlah RM585,000.
"Kementerian akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap semua akta di bawah bidang kuasa tidak kira dalam apa jua sektor dan tanpa sebarang kompromi," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... n-kompaun-rm11-juta |
|