Usahawan sensasi, Liana Rosli atau lebih dikenali sebagai Kak KM tidak mahu memeningkan kepala dengan melayan komen berbentuk kritikan dan kecaman yang ditabur oleh netizen di akaun media sosialnya.
Memetik laporan mStar, ahli perniagaan yang juga anak kepada pelakon veteran, Normah Damanhuri itu dituduh sengaja mempamerkan kekayaannya di media sosial selepas berkongsi kegembirannya berjaya memiliki sebuah rumah lot banglo.
Kak KM memberitahu urusan pembelian dan tanah berharga RM5 juta itu dilakukan sejak tahun lalu dan dia baharu sahaja menerima kunci rumah secara rasmi pada Ahad lalu. Menurut wanita itu dia terlebih dahulu akan melalukan proses ubah suai mengikut citarasa sendiri sebelum berpindah dan menetap di sana.
Mengulas komen negatif yang ditulis oleh netizen, tujuannya berkongsi berita berkenaan adalah untuk memberikan inspirasi kepada orang ramai supaya berusaha lebih gigih dalam mencapai sesuatu impian.
"Kalau sentiasa buat baik pasti ada rezeki. Tuhan mendengar doa saya selama ini. Syukur dengan rezeki yang diberikan. Kalau ada yang tak suka tengok perkongsian saya, tutup saja media sosial.
"Bukan kongsi untuk menunjuk tapi ingin berikan inspirasi untuk orang lain turut berusaha lebih kuat lagi untuk memiliki apa yang dihajati. Pandang dari sudut positif. Bersaing secara sihat untuk mencapai sasaran. Bukan sekadar kecam dan cakap kosong sahaja," katanya.
Sudah sekian lama berdepan dengan kata cacian dan makian dilemparkan oleh netizen, Kak KM enggan ambil tahu apatah lagi melayan perkara sedemikian.
"Usahawan macam saya ini memang selalu kena kecam. Tak kisahlah apa orang nak kata, saya hanya lihat dari sudut positif. Semakin dikecam semakin ramai orang kenal produk saya.
"Sebenarnya orang yang selalu kecam ini ada masalah cemburu. Apa salah sesekali ucap tahniah dengan kejayaan orang lain," katanya.
Berkongsi cerita mengenai banglo berkenaan, Kak KM yang mengakui tidak suka tinggal di tempat yang pernah didiami oleh orang lain sebelum ini merancang untuk merobohkan rumah berkenaan dan membina rumah baharu dilengkapi dengan kolam renang. -CARI
|